June 20, 2011

Teater Pentas Realiti : Telefon Buruk...

Zarina dan Sazali merupakan pasangan yang sudah bertunang lebih 3 bulan yang lalu. Hubungan mereka mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak. Malahan seluruh taman mengetahui tentang perihal mereka berdua yang sudah bertunang. Apatah lagi tempat tinggal Sazali hanya di taman perumahan lain berdekatan. Jadi mudah untuk mereka berjumpa sebagai melepas rindu atau atas urusan apa-apa.

   Suatu hari, pagi Ahad, mereka memilih untuk berjogging di taman rekreasi berhampiran berikutan tiada apa yang hendak dilakukan pada pagi itu. Maka Sazali bersiap-siap untuk menjemput tunangnya di rumah keluarga tunangnya itu. Masing-masing berpakaian lengkap untuk berekreasi. Sazali memandu perlahan-lahan menyusuri jalan untuk keluar dari taman perumahan itu. Ketika mereka melewati sebuah gerai menjual kuih-muih

"Mentang-mentang dah bertunang, selambar je keluar berdua." Cebik Mak Enon, penjual kuih.

"Lah Mak Enon ni, orang tu kan dah bertunang, lagi pun bukan sembunyi-sembunyi. Kita nampak kan?" sampuk seorang pembeli yang lebih dikenali sebagai Basri.

"Tu lah korang. Dah tunang je bukan lesen boleh keluar berdua sana-sini." Mak Enon membidas hujah Basri tadi


   Sesampai di taman rekreasi, Sazali dan Zarina melakukan warming-up untuk berjogging. Kemudian mereka pun memulakan larian sambil bergurau sesama sendiri. Perlahan sahaja larian mereka. Sekadar untuk meluangkan masa berdua juga melepaskan tekanan kerja sepanjang minggu.

   Hampir setengah jam berlari anak, mereka berhenti di salah satu pondok untuk melakukan senaman ringan. Zarina dengan senaman sendiri sementara Sazali dengan senaman sendiri. Sedang leka Zarina meregangkan badan, dia terpandang di balik salah satu tiang pondok tersebut, ada sebungkus sesuatu, kecil. Berkain batik. Zarina berhentikan aktiviti senaman ringannya. Seperti ada perasaan ingin tahu yang kuat dan membuak-buak, Zarina bergerak perlahan-lahan menuju ke bungkusan tersebut. Sazali yang kehairanan dengan tingkah laku Zarina juga turut berhenti dan menuruti tunangnya itu.

   Semakin dekat dengan bungkusan tersebut, bau yang kuat menusuk hidung. Macam bau bangkai. bungkusan tersebut juga dihurungi lalat. Zarina rasa semacam. Begitu juga Sazali.

"Apa tu yang?" Soal Sazali kepada Zarina.

"Manalah ayang tahu." Tiada jawapan untuk Sazali.

   Sampai sahaja dibungkusan terus Sazali cuit-cuit dengan tangannya. Tak puas hati, Sazali membuka bungkusan tersebut. Zarina memandang sahaja. Sebaik sahaja terbuka bungkusan tersebut.

"Astaghfirullah hal azim!" Hampir serentak mereka berdua beristighfar. Bungkusan tersebut merupakan mayat seorang bayi yang kelihatannya masih baru dilahirkan. Ada kesan darah juga malahan bertali pusat. Zarina cuma berpaling muka sementara Sazali kelihatan sedikit panik.

   Serta-merta jugalah Sazali menghubungi pihak polis untuk memberitahu berkenaan penemuan tersebut. Tak lama kemudian tempat tersebut didatangi anggota polis dan kemudian dikerumuni orang ramai. Ada juga penduduk sama taman perumahan dengan Zarina yang sama-sama berjogging di situ.


********************
"Betul mak. Kak Zarina dengan Abang Sazali yang jumpa bayi kena buang tu." Bersungguh-sungguh Alia menceritakan kepada ibunya ketika mereka minum petang di depan rumah. Nadia, kawan rapat Alia yang turut ada di tempat kejadian sekadar menganggukkan kepala tanda mengiyakan apa yang Alia katakan.

"Teruk-teruk remaja sekarang ni. Yang bukan-bukan je di buatnya. korang berdua janganlah diikutkan perangai macam tu. Kita ni ada maruah." Nasihat ibu Alia kepada mereka berdua membuatkan mereka berdua mengunyah ubi goreng dengan perlahan.


*******************
"Tu lah. Tak sama macam zaman kita dulu. Anak akulah si Alia yang cerita kat aku. Si Zarina dengannya si Sazali yang jumpa mayat bayi tu." Mak Yati beriya-iya bercerita sewaktu membeli barang runcit.

"Tu lah. Yang si Sazali dengan Zarina tu buat apa pulak kat tempat jogging tu?"

"Dah namanya tempat jogging. Takkanlah kacau dodol pulak cik Jenab oi!"


******************
"Dengarnya macam tu lah. Si Zarina tu dengan Sazali jumpa kat tempat jogging tu." Pak Awang, suami kepada pemilik kedai runcit di taman itu bercerita di kedai kopi ketika dia bermain dam dengan kawan-kawannya.

"Bilanya budak berdua tu jumpa bayi tu?" Soal Pak Leman sambil tangannya rancak "memakan" tiga buah dam Pak Awang.

"Entah. Malam ke siang tak tahulah Man." jawab Pak Awang sambil "memakan" kembali buah dam Pak Leman.


******************
"Hey Ani, kau tau tak, yang jumpa mayat bayi minggu lepas tu, Kak Zarina dengan Abang Sazali lah." tiba-tiba Zaiton membuka cerita kepada kawan-kawannya ketika kelasnya tiada guru yang mengajar.

"Ye ke? Ish. Apa pulaklah Kak Zarina dengan Abang Sazali tu buat kat taman tu?"

"Biasalah couple. Buat apalagi kat taman tu. Lagi-lagi malam." Munirah memberi pendapat sendiri.

"Ye lah tu, Kak Zarina tu dah lah lawa. Takkanlah Abang Sazali nak tunggu lama kot. Kah Kah Kah." Berdekah sahabat berempat itu namun tenggelam dalam hiruk pikuk suasana kelas.


*****************
"Tak tahulah mak. Mungkin Tuhan nak tunjuk kat diorang kot. Diorang nak buat benda tu, sekali jumpa mayat bayi pulak." Munirah bersungguh bercerita kepada ibunya.

"Jangan diikut perangai budak bedua tu Munirah. Kau lepas makan ni terus kemas meja. Tak payah nak bukak Facebook. Terus baca buku." 

   Terasa menyesal pula Munirah bercerita kepada ibunya.


********************
"Entah-entah bayi tu anak diorang kot. Nak tutup kes. Cakaplah konon-konon diorang jumpa."

"Taktik tu. Taktik nak tutup cerita tu. Bijak. Ingat diorang tu budak lepasan universiti, dapat bodohkan kita semua?"

"Tulah. baru bertunang, dah berkepit sana-sini. Tengoklah. Tahu-tahu dah buang anak. Hish. teruk!" Mengomel Mak Enon sambil membungkuskan kuih untuk pelanggannya. Maka mereka seluruh isi gerai itu menghukum dengan tafsiran sendiri berkenaan perihal penemuan mayat bayi tersebut dan dikaitkan dengan pasangan tunangan Zarina dan Sazali.


******************************************************

Telefon buruk bukan sekadar permainan dan segmen ketika program motivasi. www.tips-fb.com

3 comments:

pisau belati said...

tidak adil meletak hukum sebelum tahu kebenarannya.



*tipikal manusia sejagat.

fatan fzee said...

nice.typical malaysian.

sebab itu aku suka duduk kat malaysia,tanah tumpah darahku.faktab.

Edy said...

Ha'ah. Mak Enon tu mmg camtu. Tgklah, dulu beriya-iya nak bukak francais karipap sampai London. Skg macamana dia? Macam tu la jugak. Jangankan nak naik umrah, nak ke pekan pun naik bas awam je. Mak Enon, Mak Enon, bilalah nak berubah. Haiii.