Showing posts with label sipot yang conteng. Show all posts
Showing posts with label sipot yang conteng. Show all posts

October 30, 2013

Jangan...

INI CERITA UNTUK KITA

Kita bercerita,
Kita bersengketa,
Kita habis kata,
Kita curah ikut nista.

Mana hilang arah kompas?
Mana peta di tangan tak lepas? 
Mana tuju mula nak menang?
Takkan dah lupa air mata kau linang?

Hebat cinta dengan suara,
Indah kasih dengan bicara,
Cantik laku tiada tara,
Cantik lagi kalau seri mutiara.

Mahu perjuang sebuah istana,
Mula gadai tanah terbina.

Jangan.

Jangan kau tunduk pujuk sayu,
Nanti bunga boleh layu,
Nanti tangkai tertanggal dari kayu,
Nanti yang bundar boleh jadi kuyu.

Jangan tewas.

Pegang tiang menjulang tinggi,
Biar kibar bawah panji,
Ini cinta bukan janji,
Pasak terpasung biarkan mati.

Kita masih begini.

Cinta ini bukan ilusi.

Khuzrin Kamarudin
Star Park
30102013
www.tips-fb.com

January 02, 2013

Dua Puluh Tiga Belas...

Kita dengar dia uar-uarkan panji,
Dengar pula yang sana utarakan janji,
Yang sebelah nak tinggalkan keji,
Depan pulak setia memuji.

Azam kau caturkan,
Mimpi kau tebarkan.
Daya aku cabarkan.

Mungkin esok kau capai,
Mungkin lusa aku gapai.

P/S : Selamat Tahun Baru warga SSS.
P/S lagi : Saya berazam nak berhenti merokok kononnya.
P/S lagilah : Saya malas nak update sebab saya takde tenet. Sori semua. :D
www.tips-fb.com

May 25, 2012

Mereka Itu Maksum...

Arakian,
Mereka puak maksum,
Mereka puk dewa.
Mereka puak malaikat,
Mereka puak suci.

"Tak boleh kata itu!
Apa bangang kau buat ini?"

Aku yang si bukan maksum?

Terkekeh-kekeh,
Hiburan dari puak serba maksum.


Begitulah al-kisahnya.
www.tips-fb.com

November 27, 2011

Gambar...

Gambar. Sebuah memori yang membekukan ruang dan masa. Ada benarnya kata-kata ini. Cuba teka dari mana aku dapat ayat "Sebuah memori yang membekukan ruang dan masa" ni. Ahh... Dah dua jam. Lambat sangat teka. Jawapannya dari senaskah komik kelakar, 'Utopia High' keluaran Gempak Starz. Siapa kata komik tiada nilai estetika yang tinggi. Hanya dengan sebaris ayat itulah membuat aku tertarik. Buat aku tergamam. Indah sangat.


   Ya. Gambar sememangnya sebuah medium untuk kita merasa kembali apa itu keindahan, kebahagiaan, keceriaan, malahan ada gambar juga yang mengisyaratkan ketakutan, kesedihan ataupun tanda tanya.


   Sekeping gambar mampu menjana seribu penceritaan. Tatkala kita memilih untuk mengimbau kembali sesebuah kenangan, gambarlah perantara pertama menjadi pilihan.


    **********


"Takde hadiah lainlah yang saya boleh bagi. Maaf, cuma ini sahaja." Ujar si gadis sambil menghulurkan sebuah kotak yang sudah dibalut kemas dengan kertas pembalut hadiah berwarna coklat kemerahan. Cantik balutannya.


"Terima kasih, awak." Aku menerimanya sambil menguntumkan senyuman yang tercipta secara automatik. Sungguh seumur hidup teramat jarang aku menerima hadiah apatah lagi pemberian. Kalau dikalungkan pingat gangsa dalam acara merentas desa masa tingkatan lima tu adalah.


"Selamat Hari Lahir, Sayang," sambung si gadis lagi. Begitu lancar sebutannya.


"Terima kasih. Terima kasih." Aku tak henti-henti menguntum senyuman. Biarlah senyuman ini tidaklah mampu menawan mana-mana gadis, namun senyuman itu aku ukirkan khas untuk si gadis yang dah menawan hati ini. Kawan-kawan lain yang turut meraikan sekadar ketawa menyakat.


   **********


   Sehingga hari ini, pemberian itu masih berdiri tegak di meja dalam bilik tidur aku. Sekeping gambar yang siap dibingkaikan dengan bingkai yang cukup cantik. Ada manik sederhana kecil yang bertakhta menghiasi bingkai hitam disekeliling gambar.


   Gambarnya, si gadis memberi senyuman, duduk di kerusi taman rekreasi di samping aku. Ya, aku ada sekali dalam gambar tersebut. Kami berdua di mana gambar tersebut ditangkap oleh kawan kami, Nurul Ain. Aku ingatkan sekadar saja-saja, tak tahu pula gambar tersebut mahu dibingkaikan.


   Sungguh, aku sendiri tak terlepas dari menjadi pengimbau memori melalui sekeping gambar. Rindu? Bohong kalau aku kata tidak. www.tips-fb.com

October 09, 2011

Dan Kini Bukan Lagi Luka...

Ruang-ruang lembaran kertas,
Menjadi tempat susunan aksara,
Mengait bait puitisnya puisi biasa,
Memukul canang bukan gelandang jiwa.


Keladak duka dah lama tiada,
Daki mati kosong berganti cahaya,
Tiada duka semua senyum sahaja,
Cerita lama?
Maaf, aku dah usir kau lama.


Cerita itu kini sudah berpusara,
Tiada nisan terpasak bertanda,
Berlalang tinggi menjadi penaung setia,
Langsung aku tak ambil peduli,
Kalau teringat tiba-tiba,
Dari jauh aku talkinkan segera.


Yang kini,
Cuma aku dan dia,
Agoni-agoni aku dah tukar jadi rapsodi.





=) www.tips-fb.com

August 02, 2011

Takkan Ramadhan je?

Jangan lupa niat puasa,
Kalau niat sebulan lagi besar kebaikannya,
Bangun sahur jangan lupa,
Itu beza puasa Islam dan yang lainnya...


Waktu berpuasa tahan segala-gala,
Bukan setakat lapar dahaga,
Sekat juga nafsu durjana,
Mencaci, mencerca dan mengata,
Bercumbu dan berdua,
Berlaku keji berlaku hina,
Tinggalkan semua!


Berbuka dengan berpada-pada,
Syaitan tiada tapi nafsu mengambil kuasa,
Kawal jangan terkandas sama...


Imarahkan malam imam dan makmumnya,
Terawih witir jadi penyerinya,
Tadaruskan Kalam Allah biar bercahaya,
Lakukan yang sunat besar pahalanya....


Itu cerita sepanjang bulan puasa,
Sebelas yang bukan puasa?

Biasa jee......







----tolong maafkan aku kerana dah lama tak tunjuk muka disini... gheeee..(^_^") <--- muka comel--- www.tips-fb.com

June 20, 2011

Teater Pentas Realiti : Telefon Buruk...

Zarina dan Sazali merupakan pasangan yang sudah bertunang lebih 3 bulan yang lalu. Hubungan mereka mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak. Malahan seluruh taman mengetahui tentang perihal mereka berdua yang sudah bertunang. Apatah lagi tempat tinggal Sazali hanya di taman perumahan lain berdekatan. Jadi mudah untuk mereka berjumpa sebagai melepas rindu atau atas urusan apa-apa.

   Suatu hari, pagi Ahad, mereka memilih untuk berjogging di taman rekreasi berhampiran berikutan tiada apa yang hendak dilakukan pada pagi itu. Maka Sazali bersiap-siap untuk menjemput tunangnya di rumah keluarga tunangnya itu. Masing-masing berpakaian lengkap untuk berekreasi. Sazali memandu perlahan-lahan menyusuri jalan untuk keluar dari taman perumahan itu. Ketika mereka melewati sebuah gerai menjual kuih-muih

"Mentang-mentang dah bertunang, selambar je keluar berdua." Cebik Mak Enon, penjual kuih.

"Lah Mak Enon ni, orang tu kan dah bertunang, lagi pun bukan sembunyi-sembunyi. Kita nampak kan?" sampuk seorang pembeli yang lebih dikenali sebagai Basri.

"Tu lah korang. Dah tunang je bukan lesen boleh keluar berdua sana-sini." Mak Enon membidas hujah Basri tadi


   Sesampai di taman rekreasi, Sazali dan Zarina melakukan warming-up untuk berjogging. Kemudian mereka pun memulakan larian sambil bergurau sesama sendiri. Perlahan sahaja larian mereka. Sekadar untuk meluangkan masa berdua juga melepaskan tekanan kerja sepanjang minggu.

   Hampir setengah jam berlari anak, mereka berhenti di salah satu pondok untuk melakukan senaman ringan. Zarina dengan senaman sendiri sementara Sazali dengan senaman sendiri. Sedang leka Zarina meregangkan badan, dia terpandang di balik salah satu tiang pondok tersebut, ada sebungkus sesuatu, kecil. Berkain batik. Zarina berhentikan aktiviti senaman ringannya. Seperti ada perasaan ingin tahu yang kuat dan membuak-buak, Zarina bergerak perlahan-lahan menuju ke bungkusan tersebut. Sazali yang kehairanan dengan tingkah laku Zarina juga turut berhenti dan menuruti tunangnya itu.

   Semakin dekat dengan bungkusan tersebut, bau yang kuat menusuk hidung. Macam bau bangkai. bungkusan tersebut juga dihurungi lalat. Zarina rasa semacam. Begitu juga Sazali.

"Apa tu yang?" Soal Sazali kepada Zarina.

"Manalah ayang tahu." Tiada jawapan untuk Sazali.

   Sampai sahaja dibungkusan terus Sazali cuit-cuit dengan tangannya. Tak puas hati, Sazali membuka bungkusan tersebut. Zarina memandang sahaja. Sebaik sahaja terbuka bungkusan tersebut.

"Astaghfirullah hal azim!" Hampir serentak mereka berdua beristighfar. Bungkusan tersebut merupakan mayat seorang bayi yang kelihatannya masih baru dilahirkan. Ada kesan darah juga malahan bertali pusat. Zarina cuma berpaling muka sementara Sazali kelihatan sedikit panik.

   Serta-merta jugalah Sazali menghubungi pihak polis untuk memberitahu berkenaan penemuan tersebut. Tak lama kemudian tempat tersebut didatangi anggota polis dan kemudian dikerumuni orang ramai. Ada juga penduduk sama taman perumahan dengan Zarina yang sama-sama berjogging di situ.


********************
"Betul mak. Kak Zarina dengan Abang Sazali yang jumpa bayi kena buang tu." Bersungguh-sungguh Alia menceritakan kepada ibunya ketika mereka minum petang di depan rumah. Nadia, kawan rapat Alia yang turut ada di tempat kejadian sekadar menganggukkan kepala tanda mengiyakan apa yang Alia katakan.

"Teruk-teruk remaja sekarang ni. Yang bukan-bukan je di buatnya. korang berdua janganlah diikutkan perangai macam tu. Kita ni ada maruah." Nasihat ibu Alia kepada mereka berdua membuatkan mereka berdua mengunyah ubi goreng dengan perlahan.


*******************
"Tu lah. Tak sama macam zaman kita dulu. Anak akulah si Alia yang cerita kat aku. Si Zarina dengannya si Sazali yang jumpa mayat bayi tu." Mak Yati beriya-iya bercerita sewaktu membeli barang runcit.

"Tu lah. Yang si Sazali dengan Zarina tu buat apa pulak kat tempat jogging tu?"

"Dah namanya tempat jogging. Takkanlah kacau dodol pulak cik Jenab oi!"


******************
"Dengarnya macam tu lah. Si Zarina tu dengan Sazali jumpa kat tempat jogging tu." Pak Awang, suami kepada pemilik kedai runcit di taman itu bercerita di kedai kopi ketika dia bermain dam dengan kawan-kawannya.

"Bilanya budak berdua tu jumpa bayi tu?" Soal Pak Leman sambil tangannya rancak "memakan" tiga buah dam Pak Awang.

"Entah. Malam ke siang tak tahulah Man." jawab Pak Awang sambil "memakan" kembali buah dam Pak Leman.


******************
"Hey Ani, kau tau tak, yang jumpa mayat bayi minggu lepas tu, Kak Zarina dengan Abang Sazali lah." tiba-tiba Zaiton membuka cerita kepada kawan-kawannya ketika kelasnya tiada guru yang mengajar.

"Ye ke? Ish. Apa pulaklah Kak Zarina dengan Abang Sazali tu buat kat taman tu?"

"Biasalah couple. Buat apalagi kat taman tu. Lagi-lagi malam." Munirah memberi pendapat sendiri.

"Ye lah tu, Kak Zarina tu dah lah lawa. Takkanlah Abang Sazali nak tunggu lama kot. Kah Kah Kah." Berdekah sahabat berempat itu namun tenggelam dalam hiruk pikuk suasana kelas.


*****************
"Tak tahulah mak. Mungkin Tuhan nak tunjuk kat diorang kot. Diorang nak buat benda tu, sekali jumpa mayat bayi pulak." Munirah bersungguh bercerita kepada ibunya.

"Jangan diikut perangai budak bedua tu Munirah. Kau lepas makan ni terus kemas meja. Tak payah nak bukak Facebook. Terus baca buku." 

   Terasa menyesal pula Munirah bercerita kepada ibunya.


********************
"Entah-entah bayi tu anak diorang kot. Nak tutup kes. Cakaplah konon-konon diorang jumpa."

"Taktik tu. Taktik nak tutup cerita tu. Bijak. Ingat diorang tu budak lepasan universiti, dapat bodohkan kita semua?"

"Tulah. baru bertunang, dah berkepit sana-sini. Tengoklah. Tahu-tahu dah buang anak. Hish. teruk!" Mengomel Mak Enon sambil membungkuskan kuih untuk pelanggannya. Maka mereka seluruh isi gerai itu menghukum dengan tafsiran sendiri berkenaan perihal penemuan mayat bayi tersebut dan dikaitkan dengan pasangan tunangan Zarina dan Sazali.


******************************************************

Telefon buruk bukan sekadar permainan dan segmen ketika program motivasi. www.tips-fb.com

May 24, 2011

Sayu sebuah jalan...

Semilir angin menderu menyapu selembut wajah,
Membuat jiwa terbadai tersentak lemah,
Dalam kalut ianya bermadah,
Aku kalah.

Panji janji dulu menerjah rongga telinga,
Halus, manis, 
Jejari lembut melingkar erat bertaut,
Mematri setiap butir bicara.

Baru aku sedar,
Aku baru melewati sebuah pusara,
Tinggi semak lalang,
Ada nisan tapi tiada nama.

Serta-merta talkin dikamitkan..

----sudah-sudahlah ingat cerita lama oi!!--- www.tips-fb.com

April 12, 2011

Perhentian...

Perhentian ini tempat terkumpul orang-orang,
Bila tiba keretapi,
Ada yang pergi,
Ada yang turun..

Ada gadis berbaju merah terang,
Kasualnya ringkas,
Ayunya tetap ada.

Sapaan lembut aku hulur,
Cuma senyuman yang dia gulung...

Sampai masa,
Dia pergi dan aku masih menanti...
www.tips-fb.com

March 19, 2011

Perangkap lama, Baru kini mengena...

Di sini,
Aku pernah pasakkan satu perangkap,
Kukuh konstruksinya,
Kalau kena jangan harap lepas.


Aku menanti dalam perhati,
Lama aku amati.


Kecewa tak mengena,
Aku biarkan sahaja.


Bergerak ke depan,
Menaruh nasib pada perangkap yang lain.


Dah jauh aku bergerak dengan hasil tangkapan.


Sekarang,
Sayup aku dengar,
Ada suara mengatakan,
Perangkap yang dulu dah lama mengena...


(-_-") camne ni kawan2? www.tips-fb.com

March 04, 2011

Debu Kotor

Alam mula berpusing seperti gasing tanah mencucuk,
Seiring pusingnya bila sang semangat menusuk,
Bukan isim yang ganas  merasuk,
Tapi sang zarah yang terus membusuk,


Mulalah dia meracau menyengih senyum,
Mulalah dia benda hangit wangi yang dicium,
Mulalah dia geraknya huyung,
Mulalah dia jalannya ditiup beliung,


Gara-gara si debu kotor itu,
Banyak noda berlaku tanpa malu.


Tercetak dalam dada naskah,

Tersiar di kotak imej bercahaya,
Terbicara dari bunyi peti bersuara,
Berlegar luas di talian ilusi maya,

Kisah nyawa segar dihurung sampah,
Asalnya dari dua insan beradu resah,
Yang satu tak mengaku dialah ayah,
Yang satu malu terkandung haramnya darah.

Cerita si anak dibaham serakah,
Si cucu dibuas oleh atuk lintah,
Si pagar yang galak memamah padi,
Hilang percaya pada darah sendiri,

Tragedi berdarah lagi menambah ngeri,
Nyawa persis sampah tak bernilai lagi,
Hitam belulang dijilat bara kayu berapi,
Si anak di rumah bersendu hati.

Jadi seram bila duduk koloni sendiri,
Debu itu jadi pentas syaitan menari,
Jadi kuasa menggerak nadi insani,
Bertukar hitam dari warna merah hati.

Bangsa kian hancur,
Negara kian lebur,
Sang penghidup bermeditasi perlu bertempur,
Berperang habisan dengan sang debu kotor.....
www.tips-fb.com

February 01, 2011

Aturan...

Titik-titik air itu kejam,
Menghiris tamadun menusia,
Garang menghancur suasana,
Dalam hitam ia berjaya....


---banjir itu seni--- www.tips-fb.com

January 22, 2011

Nikmat...

Kita cuma menumpang kasih,
Kita cuma menjamah nikmat,
Kita cuma merasa kebahagiaan,


Azalinya semua ini milik Kalam,
Pencipta seluruh alam..


:)



---syukur, masih lagi berdiri--- www.tips-fb.com

January 15, 2011

Jiwa Berkata... Hati Berdialog...

Aku bermonolog sendirian,
Kekosongan hati diisi dengan kesepian,

Bait-bait kata meruntun jiwa,
Hanya tinggal metafora semata-mata.

Lontaran pandangan sepiku telah membuat kau terkesima,
Tiada kata yang mampu melunas ombak sepi,
Yang menghempas pesisir jiwa,
Namun bayu yang berlalu menyapa kesayauan ku.

Andai hari esok ada lagi buat ku,
Andai hari esok kupunya waktu buatmu.

Wahai ayah dan ibu...

Ni bukan karya aku... tp karya milik si manis : Cikin
www.tips-fb.com

January 13, 2011

Nuansa Sebuah Cinta..

Disebalik hati tersembunyi rasa,
Disebalik naluri tersimpan cinta,
Disebalik nurani terpahat gelora,


Gelombang cerita mencarik duka,
Berganti secebis rasa,
Dari secebis-secebis,
Menjadi selembar,
Selembar rasa yang namanya bahagia.


Kalau sudah ada pilihan,
Mahu berduka atau bahagia?
Mestilah aku pilih jawapan nombor dua.


Siang hari bergetar dengan namamu,
Malam dihiasi ukiran wajahmu,


Izinkan aku bergelumang dengan rasa ini,
Bersamamu...


Apakah ini rindu?
Rasanya semua orang tahu... :) www.tips-fb.com

January 11, 2011

Dari lensa mata seorang aku...

Pernah kau tengok depan?
Orang berlari kau bertongkat,
Orang menari kau tahu melompat,
Orang mencari kau tunggu mendapat...

Lemah!
Prosa sesuai untuk kau,
Tahu berkata dari melaku,
Rela mengikut dari meneraju,
Tahu mengelak bila soalan diaju...

Sudah-sudahlah,
Berhenti dari saki-baki lembah hina,
Asal yang teruk semua kita,
Tak malu kah?
Rela jadi binatang dari bersinar sebagai sebutir bintang...

Kalau tak nak,
Terpulang....

---Mentaliti melayu yang selalu layu, nasib baik aku Korea (damn)--- www.tips-fb.com

January 06, 2011

Gua cabar lu...!

Kuat kayu kerana kerasnya,
Kuat bangsa kerana bangsanya,
Tapi lagaknya aku tiada bahasa,
Izinkan aku hambur apa aku rasa.


Hujan renyai menjadi gerimis,
Tak mampu mendamai hati terhiris,
Berikanlah aku sebilah keris,
Kuserap semangat Jebat langkah aku tragis.


Kalau perahu belatinya tak kukuh,
Bah mengganas perahu kau hancur,
Kalau ilmu di dada tak penuh,
Diri ku ini jangan kau angan nak tempur.


Ku julang tangan ke langit,
Tanda aku angkuh dengan ilmu aku,
Jangan kau jadi sialan,
Mulut kau lebat gaya langkah kau picisan,


Selagi nama aku jantan,
Aku cari kau sampai kau ketakutan... www.tips-fb.com

January 04, 2011

Niat...

Mahu aku menyelam ke langit,
Tinggi nya tak tercapai buku lali,

Ingin aku menggali ke teras laut,
Dalamnya nanti aku lemas,

Hendak aku terbang ke dasar tanah,
Kuku aku bukannya besi,

Kalau aku berniat mendaki gunung,
Darah mencengkam ke graviti..

Mahu saja aku buat semua,
Mahu lari dari kenangan lama,

"Larilah kau sekencang angin,
Sejarah takkan tercicir meski setapak"

Kejam suara hati aku....
www.tips-fb.com

January 01, 2011

Gemilang Malam Tahun Baru...

Sinar gemilangnya kini berlalu,
Kenangan dan perih pergi dibawa sang bayu,
Tinggalkan saujana yang dulu kelabu,
Menjulang azam di silau mentari baru.


Sebelum kita mmengorak ke hari itu,
Mari kita olah apa yang berlaku :


Malam itu,
Neon terang menyimbah cerianya malam,
Seolah turut merai hadirnya alam yang baru,
Bersama turut menerangi pesta meriah.


Lagak pengaksi menunggang kuda berlejang,
Gaya megah persis panglima garang,
Aksi sampah dikatakan bintang,
Tak sedar ke kau tu binatang?


Di satu ruang,
Ada pula pengemudi binatang berasap-asap,
Macam syaitan dalam jiwa dah resap.


Bertarung demi maruah gah,
Mahu tunjuk siapa lagi jantan gagah,
Garis penamat meninggalkan yang kalah,
Maka sang menang terus sah.


Menginjak ke detik alaf baru,
Berdua merpati sejoli,
Melingkar menghirau meriahnya malam,


Si dara baring berserah,
Si teruna terus mengasah keris yang basah
Keluh kesah tiada arah,
Sama lega melampias serakah.


Berapa purnama nanti,
Akhbar tempatan sibuk berita 'buang bayi'....


---Salam Tahun Baru 2011--- www.tips-fb.com

December 21, 2010

Keliru Menentu Natijah...

Renyai titik mencipta gerimis,
Mungkinkah terhapus ukir pasir dihiris,
Kalau dikurnia sebilah keris,
Mungkinkah Jebat kelaku tragis?

Terkesima bila jadinya itu,
Terpasung kepala di langit,
Terpasak kaki di bumi,
Terkaku gerak tak dibias angin.

Terpaku membuat pilihan yang satu,
Dalam dihidang dua kesudahan...


---buntu -_-"   --- www.tips-fb.com